Tasik Bukit Merah, dibina pada tahun 1906 khas untuk tujuan pengairan dan membekalkan air bagi Daerah Kerian dan Larut, merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia. Tasik yang meliputi kawasan seluas 2,800 hektar ini membekalkan sumber air tak tercemar yang berterusan. Air tasik ini menjadi habitat semula jadi bagi banyak spesies tumbuhan dan haiwan, termasuk Arowana Emas Malaysia, salah satu daripada empat spesies istimewa Arowana Asia. Projek pembiakbakaan Arowana dekat Tasik Bukit Merah dalam Daerah Kerian, Perak telah berkembang daripada tidak sampai 10 usahawan yang mengusahakan 300 kolam pada tahun 2000 menjadi 70 perusahaan yang melibatkan 143 hektar tanah dengan 3,808 kolam pada tahun 2010.
Industri ikan perhiasan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 43 peratus sejak tahun 2000-an, mencecah RM783 juta pada tahun 2009 dan dijangka mencapai RM1 bilion pada tahun 2011 dengan Arowana membolot RM250 juta daripada jumlah keseluruhan. Masa depan industri ikan perhiasan sangat memberangsangkan oleh sebab permintaan dunia terhadap Arowana dijangka meningkat pada kadar 2.5 hingga 4 peratus setahun.
Daripada segi destinasi eksport ikan perhiasan Malaysia, destinasi utama adalah negara-negara EU atau Kesatuan Eropah yang didahului oleh United Kingdom, Sepanyol dan Itali diikuti dengan Amerika Syarikat dan Taiwan manakala China menjadi sebuah destinasi yang semakin penting.
Badan-badan Kerajaan perlu bergerak seiring dengan perkembangan ini agar tidak tercicir merebut peluang menyokong usaha pembiakbakaan Arowana di Malaysia. Satu langkah yang betul ke arah ini adalah pengenalpastian bidang Pertanian sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Subsektor bagi produk marin dan akuakultur di bawah NKEA merupakan tujuh peratus daripada sumbangan pertanian kepada Pendapatan Negara Kasar Malaysia pada tahun 2009. Potensi untuk meninggikan lagi angka ini pastinya berpunca daripada tumpuan yang diberi kepada subsektor terpilih yang berpotensi besar untuk menambahkan pendapatan penduduk dan ini termasuk pembiakbakaan Arowana. Adalah dijangkakan pendekatan yang tuntas akan diguna pakai bermula daripada pembiakbakaan membawa kepada pengedaran melibatkan perkhidmatan sokongan seperti bioteknologi dan logistik pertanian. Di samping itu, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga akan beralih daripada pertanian berskala kecil kepada syarikat berskala industri besar untuk mencapai skala ekonomi.
Baru-baru ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah memberi kelulusan kepada Arowana Venture Breeding Management Scheme (Skim Pengurusan Pembiakbakaan Teroka Arowana), iaitu skim minat sah-taraf pertama di Malaysia dalam bidang pembiakbakaan Arowana Ini adalah satu langkah yang betul ke arah itu. Skim minat tersebut membolehkan pelabur yang ikut serta dalam skim mendapat keuntungan daripada jualan anak-anak ikan Arowana Emas Kacukan Balik (Golden Cross-back Arowana). Skim seumpama itu akan menarik lebih banyak pelaburan yang diperlukan dalam industri berkenaan.
Selain membina kolam-kolam lebih besar dan menggunakan teknologi yang lebih moden, maka wang yang dilaburkan ke dalam skim itu boleh disalurkan kepada penyelidikan mengenai biologi pembiakbakaan dan tingkah laku Arowana bertujuan menambahbaik kaedah penternakan yang digunakan sekarang serta juga pembiakbakaan pilihan untuk menambahbaik kualiti dan kuantiti generasi Arowana yang akan datang. Oleh sebab skim ini dikawal selia dengan begitu ketat, maka setiap pihak termasuk pelabur, pembiakbaka dan industri secara keseluruhan akan mendapat faedahnya.
Namun begitu, untuk meningkatkan permintaan terhadap Arowana lebih banyak usaha boleh dilakukan seperti menganjurkan lebih banyak pertunjukan perdagangan, contohnya Akuafair yang disasarkan kepada pembiakbaka, pengeksport dan pengimport ikan perhiasan. Malaysia perlu meningkatkan usaha kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Penyelidikan Perikanan, universiti dan sektor swasta untuk meningkatkan kualiti ikan perhiasan termasuk Arowana. Selain itu lebih banyak kawasan tanah perlu diwartakan untuk usaha pembiakbakaan ikan Arowana lengkap dengan persediaan bekalan air sendiri untuk mengelakkan dari bersaing dengan bekalan air yang sangat diperlukan untuk penanaman padi.
Persaingan adalah sengit. Dari segi eksport, Singapura dan Indonesia mendahului Malaysia. Namun begitu, seperti juga dengan warna sisik ikan Arowana, industri Arowana di Malaysia mempunyai masa depan yang sangat cerah. Malaysia memiliki kelebihan dari segi air bernilai emas di Bukit Merah dan seharusnya memanfaatkan sumber ini dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment